Mas kahwin ikut negeri merupakan panduan penting yang membantu bakal pengantin memahami kadar mas kahwin yang ditetapkan di seluruh Malaysia.
Setiap negeri mempunyai ketetapan tersendiri berdasarkan adat, garis panduan agama serta pertimbangan setempat.
Dengan mengetahui kadar mas kahwin ikut negeri, pasangan dapat membuat persiapan perkahwinan dengan lebih teratur dan memahami hikmah di sebalik pemberian mahar.
Dalam artikel ini, kita akan meneliti perbandingan kadar mas kahwin di seluruh negeri, termasuk negeri yang menetapkan jumlah tertinggi dan terendah, supaya anda lebih jelas sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Apa itu Mas Kahwin?

Mas kahwin atau mahar merupakan pemberian wajib oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan sebagai tanda penghargaan dan hadiah perkahwinan.
Ia merupakan syarat sah dalam pernikahan menurut syarak, dan nilainya ditetapkan berdasarkan negeri tempat bakal isteri bermastautin.
Mas kahwin adalah hak mutlak isteri, dan ia tidak boleh diambil oleh ibu bapa, ahli keluarga, atau suami walaupun selepas mereka berkahwin. Ia kekal menjadi milik isteri selama-lamanya kecuali jika si isteri sendiri merelakan untuk memberikannya kepada orang lain.
Jenis Mas Kahwin
Mahar boleh terbahagi kepada beberapa jenis berdasarkan penetapan dan persetujuan yang berlaku antara kedua-dua pihak.
Secara umum, terdapat dua jenis mahar utama iaitu Mahar Musamma dan Mahar Misil.
1. Mahar Musamma
Mahar Musamma ialah mas kahwin yang ditetapkan dengan jelas dari segi jumlah dan jenisnya ketika akad nikah. Ia dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak tanpa perlu merujuk kepada nilai mas kahwin saudara perempuan yang lain.
Jenis mahar ini adalah yang paling biasa diamalkan dalam masyarakat kita pada hari ini. Para ulamak bersepakat bahawa Mahar Musamma menjadi wajib dibayar sepenuhnya oleh suami apabila berlaku salah satu daripada keadaan berikut:
Berlakunya persetubuhan di antara suami dan isteri selepas akad nikah.
Kematian salah seorang daripada pasangan, sama ada suami atau isteri.
Dalam erti kata lain, setelah salah satu situasi ini berlaku, isteri berhak mendapat keseluruhan jumlah Mahar Musamma sebagaimana yang telah ditetapkan semasa akad nikah.
2. Mahar Misil (Mahar yang Sepadan)
Mahar Misil ialah mahar yang nilainya ditentukan berdasarkan kesepadanan dengan mas kahwin ahli keluarga perempuan yang paling dekat, seperti kakak, ibu saudara atau sepupu yang sepadan. Penilaian dibuat berdasarkan:
Mas kahwin saudara perempuan terdekat dalam keluarga.
Sifat dan keadaan perempuan itu sendiri seperti kecantikan, kedudukan ekonomi, tahap pendidikan, akhlak, ketakwaan, kecerdasan fikiran, status sama ada gadis atau janda dan unsur-unsur lain yang boleh dijadikan penilaian.
Mahar Misil digunakan apabila jumlah dan jenis mahar tidak disebut secara jelas dalam akad nikah. Dalam keadaan ini, mahar akan diqiaskan dengan perempuan yang setaraf dalam keluarga.
Jika tiada, ia diqiaskan dengan perempuan setara dalam masyarakat. Jika masih tiada, nilainya diserahkan kepada budi bicara suami berdasarkan adat setempat.
Perbezaan Mas Kahwin dan Duit Hantaran
Ramai yang sering keliru antara duit mas kahwin dan duit hantaran, sedangkan kedua-duanya mempunyai maksud dan tujuan yang berbeza:
1. Mas Kahwin (Mahar)
Pemberian wajib mengikut syarak
Hak milik isteri sepenuhnya
Tidak boleh dituntut kembali oleh suami atau keluarganya
Nilainya ada yang ditetapkan negeri, ada yang berdasarkan persetujuan bersama
2. Duit Hantaran
Sekadar adat dalam budaya masyarakat melayu
Kedua-dua pihak (bertukar hantaran)
Nilainya bergantung kepada persetujuan kedua-dua belah belah keluarga
Bukan syarat sah nikah dan bukan hak mutlak isteri
Penetapan Nilai Mas Kahwin

Umumnya, Islam tidak menetapkan sebarang nilai untuk mas kahwin. Ianya bergantung kepada persetujuan kedua belah pihak pengantin.
Namun, untuk mengelakkan sebarang masalah berlaku, setiap negeri di Malaysia mempunyai kadar minimum mas kahwin yang berbeza.
Ada negeri yang telah menetapkan jumlah khusus, manakala ada juga negeri yang menyerahkan penentuan jumlah tersebut kepada persetujuan antara kedua-dua pihak pengantin lelaki dan perempuan.
Walau apa pun nilainya, mas kahwin wajib dibayar oleh pengantin lelaki sebagai memenuhi tuntutan syarak.
Kadar Nilai Mas Kahwin Mengikut Negeri
NEGERI | BUJANG / ANAK DARA | JANDA / IBU TUNGGAL |
Perlis | Tidak ditentukan | Tidak ditentukan |
Kedah | Tidak ditentukan | Tidak ditentukan |
Perak | RM101 | RM101 |
Pulau Pinang | RM24 | RM24 |
Wilayah Persekutuan KL | RM300 | RM300 |
Selangor | RM300 | RM300 |
Negeri Sembilan | RM200 | RM100 |
Melaka | RM100 | RM100 |
Johor | RM22.50 | RM22.50 |
Pahang | RM100 | RM100 |
Terengganu | Tidak ditentukan | Tidak ditentukan |
Kelantan | Tidak ditentukan | Tidak ditentukan |
Sabah | RM100 | RM80 |
Sarawak | RM120 | RM120 |
Wilayah Persekutuan Labuan | RM80 | RM80 |
Faktor yang Mempengaruhi Nilai Mas Kahwin
Nilai mas kahwin mengikut negeri berbeza-beza kerana ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti ekonomi, sosial, budaya, dan agama.
1. Faktor Ekonomi
Salah satu faktor utama yang mempengaruhi nilai mas kahwin ialah keadaan ekonomi sesebuah negeri.
Misalnya, negeri Selangor memiliki pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding banyak negeri lain di Malaysia.
Keadaan ini boleh mendorong penetapan mas kahwin pada kadar yang lebih tinggi kerana ia dianggap selari dengan kos hidup semasa.
Oleh itu, nilai mas kahwin yang lebih tinggi di negeri seperti Selangor dilihat sebagai cerminan realiti ekonomi masyarakatnya.
2. Faktor Sosial
Faktor sosial juga memainkan peranan besar dalam penentuan nilai mas kahwin. Di sesetengah tempat, peningkatan nilai emas kahwin dilihat sebagai usaha untuk menghargai wanita dan mengurangkan kadar perceraian.
Mas kahwin yang lebih tinggi memberi simbolik bahawa pihak lelaki benar-benar berkomitmen dalam membina rumah tangga serta menjaga kebajikan isterinya.
Dalam konteks ini, mas kahwin bukan sekadar pemberian formal, tetapi lambang tanggungjawab dan penghargaan terhadap calon isteri.
3. Faktor Budaya
Dalam masyarakat Melayu, mas kahwin mempunyai nilai budaya yang besar sebagai tanda penghormatan kepada pihak perempuan. Tradisi ini diteruskan dari generasi ke generasi sebagai simbol maruah dan penghargaan.
Oleh itu, apabila nilai mas kahwin meningkat, ia juga mencerminkan budaya setempat yang menekankan penghormatan kepada wanita serta keinginan untuk mengekalkan adat dalam institusi perkahwinan.
4. Faktor Agama
Dari sudut agama, mas kahwin adalah tuntutan wajib dalam Islam dan merupakan hak mutlak perempuan.
Ia mesti dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada perempuan atau wakil sahnya ketika akad nikah berlangsung, dengan sekurang-kurangnya dua orang saksi.
Mas kahwin ini boleh dibayar dalam bentuk wang tunai, cek, wang pos, atau apa-aoa barang bernilai yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Nilai dan bentuk bayaran ini kemudiannya akan direkod oleh pendaftar perkahwinan sebagai bukti sah pernikahan.
Kelebihan disyaratkan Mas Kahwin

Berikut adalah antara hikmah ditetapkan mas kahwin dalam perkahwinan menurut pendapat yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
1. Mengangkat Kemuliaan Wanita
Mas kahwin menandakan wanita dimuliakan sebagai pihak yang dicari, bukan mencari. Lelaki yang berusaha dan mengeluarkan harta untuk mendapatkan isteri, berbeza dengan budaya lain yang membebani wanita.
2. Tanda Cinta dan Penghargaan Suami
Ia menjadi hadiah yang melambangkan kasih sayang, penghargaan dan keikhlasan suami, bukan “harga” bagi seorang wanita.
3. Bukti Kesungguhan Lelaki
Mas kahwin mencegah lelaki mempermainkan perkahwinan. Dengan pemberian harta ini, lelaki menunjukkan komitmen serius untuk membina rumah tangga dan menghormati akad nikah.
4. Meneguhkan Komitmen Perkahwinan
Islam mewajibkan separuh mahar dibayar walaupun berlaku perceraian sebelum persetubuhan tanda bahawa perkahwinan adalah perjanjian berat, bukan hubungan sementara.
5. Mengukuhkan Tanggungjawab Lelaki sebagai Ketua Keluarga
Mas kahwin menegaskan peranan lelaki dalam memimpin dan menanggung keluarga.
Dengan membayar mahar, suami diingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak meruntuhkan rumah tangga atas perkara remeh.
Kesimpulan
Kesimpulannya, mas kahwin tetap menjadi hak isteri dan simbol komitmen lelaki dalam membina rumah tangga.
Sama ada negeri anda menetapkan kadar tinggi atau rendah, yang utama ialah memahami hikmah di sebalik mahar dan mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam perkahwinan dengan penuh tanggungjawab.
Artikel Lain:







