Majlis Perkahwinan Mewah dan Berkonsep Organik di Amankila, Bali
Glamor Eksklusif

Majlis Perkahwinan Mewah dan Berkonsep Organik di Amankila, Bali

HelloKahwin · Dikemas kini 26 November 2025 · 6 min bacaan

Kongsi artikel iniWhatsApp

Kisah cinta Leeana dan Tim bermula dengan cara yang langsung tidak mereka jangka. Pertemuan di tempat kerja pada awalnya biasa-biasa sahaja, namun perlahan-lahan wujud rasa tertarik antara satu sama lain. Secara kebetulan, pertukaran tempat duduk di pejabat membuatkan mereka lebih kerap berbual dan menjadi semakin rapat. Sejak itu, setiap pagi ke tempat kerja terasa lebih istimewa kerana mereka tahu akan bertemu. Apabila Tim memberanikan diri mengajak Leeana keluar, detik itu menjadi permulaan kepada perjalanan cinta yang manis dan penuh kegembiraan. Hanya enam bulan kemudian, Tim sudah yakin bahawa Leeana ialah wanita yang ingin dijadikannya isteri.

Pada tahun 2019, Tim melamar Leeana ketika mereka bercuti di New Zealand. Namun, impian perkahwinan mereka terpaksa ditangguhkan seketika kerana pandemik. Apabila tiba masa untuk memilih lokasi perkahwinan, keputusan mereka sebenarnya sudah jelas. Semasa perjalanan pertama sebagai pasangan, mereka pernah menghabiskan masa yang bermakna di Bali, terutama di ‘Joglo hut’ milik keluarga Leeana di Ubud. Sejak itu, Bali sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati mereka. Akhirnya, mereka memilih untuk meraikan hari bahagia di Amankila, Bali iaitu sebuah lokasi yang terkenal dengan suasana yang tenang dan memukau. Terletak di lereng bukit menghijau di bawah Gunung Agung yang suci dan menghadap Selat Lombok, nama “Aman” terasa sangat tepat kerana ia menggambarkan suasana tenang yang mereka inginkan. Keindahan Amankila memang sukar digambarkan. Gabungan suasana alam yang rimbun dan seni bina yang selaras dengan persekitaran menjadikannya lokasi sempurna untuk pasangan yang menghargai alam dan estetika. Latar semula jadi yang indah ini benar-benar menyempurnakan cita rasa mereka.

Majlis mereka diadakan dalam suasana intim tetapi tetap hangat, dengan 50 orang rakan rapat dan ahli keluarga hadir meraikan. Keluarga terdekat dan sahabat baik datang dari pelbagai negara, menjadikan hari perkahwinan itu bukan sekadar sebuah majlis tetapi juga pertemuan semula yang sangat istimewa. “Kami memang mahu konsep perkahwinan yang berasaskan kelestarian dan menggunakan sumber tempatan. Selain meraikan hari bahagia kami, kami juga mahu membantu komuniti Bali yang terkesan selepas pandemik. Jadi seboleh mungkin, kami memilih pembekal dan barang tempatan,” jelas Leena.

Setiap acara dalam majlis mereka mempunyai tema yang berbeza. Untuk sambutan makan malam, mereka melilih tema Tropical Glam. Tetamu disambut dengan gadis-gadis bunga Bali dan hiasan tropika yang berwarna-warni di pintu masuk, membawa mereka ke sebuah khemah ala safari di bawah deretan pokok kelapa tinggi. Suasana ini benar-benar menghidupkan rasa percutian mewah di Bali. Di dalam khemah, dekorasinya menghias ruang dengan perabot rotan, bunga tropika dan buah-buahan tempatan. “Yang menariknya, hiasan itu sampai menarik jenis serangga seperti rama-rama dan lebah. Suasananya jadi lebih hidup dan cantik,” kata pasangan itu. Menu makan malam pula dipenuhi hidangan tempatan yang kaya rasa dan begitu menggugah selera. Kemudian, tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian api di kawasan rumput yang menambah kehangatan malam tersebut. Sebelum hari besar mereka tiba, Tim dan Leeana sempat menikmati masa berdua di tepi pantai untuk menghargai detik-detik indah sebelum bermulanya majlis utama.

Untuk menyambut kedatangan tetamu, pasangan ini menyiapkan beg cenderahati yang diletakkan di bilik hotel masing-masing. Mereka memilih beg rotan dan mengisinya dengan beberapa barang-barang pilihan seperti selimut buatan tangan berinspirasikan Turki, krim pelindungan matahari organik yang mesra reef-safe dari Republic of Soap Bali, semburan penghalau serangga berasaskan essential oil daripada Bali Utama Spice, serta snek tempatan yang sedap untuk dinikmati.

Apabila para tetamu tiba menggunakan shuttle dari vila masing-masing, mereka melalui laluan tangga batu kapur yang dikelilingi hutan hijau. Laluan itu membawa mereka terus ke pemandangan laut Lombok Straits yang terbentang luas dan sangat cantik. Tetamu diberikan tuala sejuk dan kipas daun palma buatan tangan untuk menyejukkan diri dalam cuaca panas. Di latar belakang, muzik okestra memainkan melodi lembut yang menambah suasana tenang dan romantik. Pengantin perempuan pula tampil dengan gaun A-line khas daripada Kyha Studios, dengan lengan puff off-shoulder yang menyerlahkan keanggunannya. Penampilannya dilengkapi dengan solekan soft glam yang natural serta sanggul rendah yang ringkas tetapi elegan.

Untuk makan malam resepsi, pasangan ini memilih gaya estetik kegemaran mereka iaitu moden organik, gabungan warna putih semula jadi, hijau dan elemen alam. “Kami memang mahu tekstur dan elemen yang digunakan selari dengan suasana semula jadi di sini. Sandat Floral dan Sweet Bella Project banyak membantu menjayakan idea kami. Kami sudah ada gambaran jelas, dan mereka betul-betul berjaya realisasikannya. Kami sama-sama membuat pemilihan hiasan bunga, menyesuaikan menu, dan milih dekorasi yang sesuai dengan tema perkahwinan serta persekitaran. Kami juga memang sangat sukakan rotan, jadi kami pilih sendiri kerusi dan alas meja yang padan dengan pemandangan cantik di sini. Amankila sudah cukup indah, jadi kami mahu dekorasi yang sederhana tetapi seiring dengan keindahan lokasinya,” jelas Leeana.

Pasangan kreatif ini turut menyesuaikan dekorasi meja makan mereka sendiri. Setiap kali ke Bali, mereka suka mengumpul seramik buatan tangan daripada artis tempatan. Jadi untuk majlis ini, mereka memilih pinggan mangkuk daripada dua butik seramik tempatan, iaitu Gaya Ceramics dan Jenggala. Mereka kemudian melengkapkan set meja itu dengan sapu tangan Batik khas yang direka sendiri oleh Tim. Corak Batik itu melambangkan budaya Melayu Leeana, manakala motif daun paku New Zealand mewakili asal-usul Tim.

Makan malam itu dipenuhi ucapan yang penuh emosi dan perbualan yang penuh kegembiraan. Selepas makan, pasangan ini melakukan tarian pertama mereka. Walaupun sedikit gugup, mereka berjaya melakukannya dengan sempurna dan benar-benar menikmati detik itu. Cahaya sparklers menambahkan lagi suasana romantik. Live Band yang membuat persembahan memainkan lagu “Signed, Sealed, Delivered”, yang terus membuat tetamu bersemangat dan mula menari. Tidak mahu malam berakhir begitu sahaja, semua tetamu kemudian berkumpul di vila pasangan itu untuk menikmati masa santai bersama sebelum masing-masing berehat selepas hari yang panjang. Daripada semua momen yang indah itu, apa yang paling diingati ialah pengalaman yang dikongsi bersama, perbualan yang berlaku dan pandangan penuh makna antara satu sama lain. Bagi mereka, perkahwinan ini bukan hanya tentang satu hari tetapi kisah perjalanan mereka sebagai pasangan.

“Mungkin bunyinya klise, tapi memang betul setiap kenangan dari majlis kami terasa sangat bermakna. Sebab majlis kami kecil dan intim, kami dapat luangkan masa berkualiti dengan keluarga dan rakan-rakan rapat,” kata mereka. Nasihat Leeana dan Tim kepada pasangan lain yang sedang merancang perkahwinan itu sebenarnya sangat mudah; “Majlis kahwin itu tentang kamu berdua. Jadi ikut apa yang kamu rasa sesuai. Bila kami buat majlis mengikut gaya kami sendiri dan fokus pada perkara yang paling penting, semuanya jadi lebih senang untuk dirancang.”

Kredit Vendor

Lokasi: Amankila, Bali

Jurugambar: Bonjo, Terralogical

Juruvideo: Bob, Leura Films

Perancang Majlis: Sinly, Bali Wedding Paradise

Dekorasi: Sweet Bella Project

Floris: Sandat Floral

Gaun Makan Malam Sambutan Pengantin: Zimmermann

Gaun Pengantin (1): Kyha Studios – tempahan khas

Gaun Pengantin (2): Kyha Studios

Gaun After Party: Cult Gaia

Kasut Pengantin: Mach & Mach, Manolo Blahnik, Giuseppe Zanotti

Barang Kemas: Anna Sheffield, serta anting-anting vintaj milik ibu pengantin

Suit Pengantin Lelaki: Enzo Beverly Hills – tempahan khas

Kasut Pengantin Lelaki: Yves Saint Laurent

Persembahan: Bali Fire Dancers, Luxe Voir (Live Band), Catherine Whitaker (Orkestra)

Kek: Sugar Legacy Bali